24 Jul 2014

RAKYAT DIMINTA HARGAI USAHA KERAJAAN JAGA KEDAULATAN NEGARA – ROBERT PHANG

SEMPORNA, (24 Julai) — Malaysia dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga kedaulatan negara daripada dicerobohi penjenayah rentas sempadan, kata Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial Tan Sri Robert Phang.

Oleh itu, katanya rakyat negara ini seharusnya menghargai usaha dan menyokong pelbagai langkah yang dilakukan kerajaan bagi memperkukuhkan lagi keselamatan khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZOne).

“Kerajaan telah melakukan tindakan bijak dengan menstruktur ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dengan melantik pegawai berkebolehan dan berpengalaman luas untuk menjaga keselamatan perairan negeri ini daripada dicerobohi.

“Kita rakyat mesti menyokong usaha ini dengan memberikan maklumat bagi membantu kerajaan mengekang jenayah penculikan (untuk wang tebusan),” katanya selepas menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada balu anggota polis Marin Koperal Ab Rajah Jamuan, Salamah Ahmad pada majlis berbuka puasa anjuran yayasan itu dan ESSCom, di sini, malam tadi.

Pada 12 Julai lepas, Ab Rajah, 32, mati ditembak kumpulan lelaki yang berpakaian hitam, seluar celoreng dan bersenjata berat ketika mangsa sedang meronda di sebuah Resort, Pulau Mabul bersama rakan setugas Konstabel Zakiah Aleip, 26, yang kemudian diculik ke perairan negara jiran.

Dalam hal ini, Robert menyeru syarikat korporat supaya tampil membantu
keluarga yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap penglibatan “orang dalam”
yang mempermudahkan penjenayah melakukan jenayah termasuk penculikan dengan
memberikan maklumat pergerakan pasukan keselamatan.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Perisikan Keselamatan ESSCom DCP Datuk Ahmad
Nadzer, Pegawai Daerah Semporna Dr Chaco Bullah dan Komander Pasukan Gerakan
Marin ESSCom SAC Abdul Manaf Othman.


Source — BERNAMA

No comments: