SEPANG 16 Jan. - Sistem tugasan dan pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dipertingkatkan dengan mengkaji sistem yang dilaksanakan di balai-balai polis negara maju seperti Australia.Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Robert Phang berkata, sistem itu boleh dikaji menerusi program lawatan dan latihan bersama pasukan polis di negara-negara tersebut.Katanya, langkah berkenaan merupakan satu pendekatan yang sangat penting di dalam usaha mempelajari sistem penugasan dan pengurusan balai terbaik di negara maju sebelum dipraktikkan di negara ini.
Katanya, sehubungan itu pihaknya tidak teragak-agak untuk menghantar lima pegawai polis termasuk seorang pegawai pengiring dari yayasan tersebut ke Melbourne, Australia selama dua minggu untuk mengikuti program lawatan tersebut."Usaha ini sejajar dengan matlamat Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih selamat, bebas jenayah serta PDRM sebagai pasukan yang unggul dan berintegriti."Program yang julung kali diadakan ini juga merupakan satu anjakan paradigma yang dapat memberi perubahan dalam usaha meningkatkan sistem pengurusan PDRM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghantar empat pegawai polis terbabit ke Australia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini malam tadi.Empat ketua balai polis cemerlang berlepas ke Australia untuk menjalani latihan sambil belajar selama dua minggu di dua balai polis di Melbourne.Lawatan mereka dibiayai oleh YPJM dan diadakan dengan kerjasama polis Victoria, Australia bertujuan mendedahkan mereka kepada standard kepolisan di negara itu, terutamanya pendekatan kepolisan kemasyarakatan.
Keempat-empat ketua balai polis cemerlang tahun 2006, 2007 dan 2009 ialah Asisten Supritendan Ahmad Hisyam Mohamed Sawi dari Balai Polis Bercham, Perak; Sarjan Mohd. Taha Johan (Balai Polis Tengkera, Melaka); Cif Inspektor Mahadi Hussin (Balai Polis Paka, Terengganu) dan Sarjan Mejar Abdul Latif Deraman (Balai Polis Batu Gajah, Melaka). Mereka diiringi oleh pegawai yayasan Abdul Aziz Ariffin.
Dua daripada mereka masing-masing ditempatkan di Balai Polis Melbourne Barat dan Balai Polis Melbourne Timur dan semasa di sana mereka juga berpeluang menghadiri upacara tamat latihan rekrut Akademi Polis Victoria di Melbourne pada 25 Januari depan.
Mereka juga akan diberi pendedahan di Akademi Polis Victoria dengan menghadiri kuliah oleh 'Youth Advisory Unit Recruits and Multicultural Unit,' selain melawat Melbourne City Council dan mendalami konsep bandar selama di sana.
Source : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0117&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_03.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment