11 Feb 2014

Ka Siong calon paling sesuai lawan Anwar?

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong seharusnya
menawarkan diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana beliau adalah pemimpin 'paling sesuai' untuk mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi berkenaan.

Aktivis sosial, Tan Sri Robert Phang berkata, Ka Siong boleh dianggap sebagai calon heavyweight dan seorang pemimpin MCA Pusat yang pernah membantu membina semula sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Kajang semasa berkhidmat dalam kerajaan.

"Sesungguhnya beliau mempunyai peluang lebih baik untuk menang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK DUN Kajang pada 11 Mac diikuti dengan hari pengundian 23 Mac ini.

Dua nama yang disebut-sebut disenarai pendek oleh MCA untuk dipertimbangkan BN sebagai calon parti itu ialah Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun dan Ketua Pergerakan Pemuda MCA, Chong Sin Woon.

Phang berkata, Ka Siong telah membuktikan sumbangannya terhadap pendidikan masyarakat Cina dan bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu hanya perlu meraih sokongan lebih ramai pengundi kaum berkenaan dalam PRK tersebut.


 


Source: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140211/po_10/Ka-Siong-calon-paling-sesuai-lawan-Anwar?#ixzz2szN14EA4 

No comments: