2 Dec 2014

Kes saman Phang terhadap Musa selesai

SHAH ALAM 1 Dis. – Kes saman antara bekas anggota Majlis Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang dengan Tan Sri Musa Hassan berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas bekas Ketua Polis Negara itu membacakan draf penghakiman persetujuan yang telah dicapai.

Penyelesaian penuh kes tersebut direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Rozana Ali Yusoff dengan kehadiran Musa yang diwakili peguam Tan Sri Abdul Aziz Abd. Rahman dan Datuk Rabinder Singh manakala Phang diwakili peguam Sankara Nair dan K. Muralidharan.

Draf penghakiman yang dipersetujui itu, mengandungi dua terma iaitu Musa bersetuju membacakan di mahkamah terbuka permohonan maaf beliau selain bersetuju membayar kos guaman sebanyak RM10,000 kepada Phang.

Musa mengakui dan menyesali kenyataan yang telah dibuatnya itu. Phang selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut pada 4 Januari 2013 dengan mendakwa Musa yang dinamakan sebagai pihak defendan telah memfitnahnya dalam sidang akhbar Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) pada 10 Disember 2012.

Phang yang juga Pengerusi Social Care Foundation mendakwa, Musa yang dinamakan sebagai defendan, pada majlis itu telah mengeluarkan kata-kata plaintif sebagai seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan tidak beretika. Musa turut didakwa mengeluarkan kenyataan plaintif sebagai seorang pembohong, korup, telah melakukan kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan mempunyai kecenderungan mengganggu perjalanan serta pentadbiran Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa yang lain.


Source : http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/kes-saman-phang-terhadap-musa-selesai-1.31669

No comments: